Haa siapa di sini suka mengunyah ais? Satu kebiasaan bagi individu yang kerap minum minuman berais ialah kecenderungan untuk mengunyah ketulan ais.
Tidak dinafikan, Anis juga tergolong dalam golongan yang suka mengunyah ais. Tabiat mengunyah ais juga dikenali sebagai pagophagia, berasal dari perkataan Yunani ‘pago’ yang merujuk kepada ais atau beku, dan berkaitan dengan gejala anemia atau pica.
Anemia adalah keadaan di mana terdapat kekurangan zat besi dalam darah dan boleh menyebabkan gejala gangguan pemakanan seperti pica. Walaupun tabiat tersebut mungkin tidak menimbulkan kesan yang ketara pada awalnya, namun untuk kesan masa yang panjang, ia boleh menyebabkan masalah kesihatan gigi yang serius.
Mengunyah ais juga boleh merosakkan enamel gigi dan menyebabkan gigi anda terdedah kepada masalah pergigian yang lain.
Tentulah doktor ada beri peringatan kepada Anis tentang perkara ini supaya Anis lebih beringat dan berjaga-jaga.
Kepada anda yang berkongsi kebiasaan yang sama seperti Anis, ingatlah bahawa mengunyah ais batu bukan sahaja tidak baik untuk kesihatan gigi, tetapi ia juga boleh membawa kepada masalah kesihatan yang lebih serius dalam jangka panjang.
Abfraksi adalah salah satu masalah yang mungkin timbul di mana struktur gigi akan hilang akibat mengunyah ais batu.
Apa itu abfraksi? Abfraksi atau abfraction merupakan kerosakan yang berlaku pada permukaan gigi yang menyebabkan kehilangan lapisan gigi. Ianya berlaku disebabkan oleh geseran atau tekanan daripada mengunyah makanan yang keras, memberus gigi terlalu kuat dan sebab-sebab lain seperti penggunaan gigi palsu yang tidak sesuai.
Risiko untuk gigi berlubang juga meningkat apabila terlalu kerap mengunyah ais batu. Gigi boleh mengalami lekuk yang halus dan semakin besar seiring dengan kerapnya tabiat ini diamalkan. Doktor juga menyebut kemungkinan gigi pecah, yang boleh menyebabkan kesakitan terutamanya jika akar gigi terdedah.
Tidak hanya itu, aktiviti mengunyah ais boleh merosakkan tampalan atau crown anda yang selalunya memerlukan rawatan pergigian segera.
Dengan memberikan peringatan seperti ini, Anis harap ianya dapat memberikan kesedaran untuk menghentikan tabiat mengunyah ais batu ini. Hal ini kerana kesan negatifnya bukanlah sesuatu yang boleh dilihat dengan serta-merta, tetapi dapat terjadi dalam masa yang tidak disangka kelak.
Tahniah bagi mereka yang tidak pernah mengamalkan tabiat ini. Anda berjaya menghindari daripada mengalami masalah gigi.
Bagi yang mungkin tergoda dan ada keinginan untuk mencuba, Anis nasihatkan janganlah berbuat demikian. Sebab bukan apa.. Sekali cuba pasti teringin lagi. Hahaha..
Mesej ini penting untuk dikongsi agar lebih ramai yang menyedari bahaya tabiat ini dan dapat mengambil langkah-langkah untuk menjaga kesihatan gigi mereka. Kesedaran awal adalah langkah pertama untuk mengelakkan komplikasi kesihatan yang tidak diingini. Jadi, hentikan tabiat mengunyah ais batu sekarang untuk kebaikan kesihatan gigi dan tubuh badan anda.